KHALIFAH ISKANDAR

welcome

DENGAN NAMA ALLAH, AKU BERLINDUNG,MEMOHON KEBERKATAN. DENGAN NAMA ALLAH AKU MEMOHON PERTOLONGAN,KEMENANGAN,KURNIA DAN TEMPAT AKU MENYANDAR,BERSERAH,BERPEGANG . DGAN NAMA ALLAH AKU TENGELAMKAN DIRIKU,JIHADKU DAN KESUNGGUHANKU,TIADA UPAYA (DARIPADA MENGELAK MAKSIAT) DAN TIADA UPAYA (MENGERJAKAN TAAT)MELAINKAN DENGAN PERTOLONGAN ALLAH YANG MAHA TINGGI LAGI MAHA AGUNG. DENGAN NAMA ALLAH AKU MULAKAN DAN AKU AKHIRI SEGALANYA. BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

Jalan Mukmin Menuju Ke Syurga




Bismillahirrahmanirrahim.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Setiap orang mukmin perlulah meningkatkan amalannya setiap hari sebagai persiapan untuk bertemu dengan Allah S.W.T. Perbanyakkanlah bekalan pahala dan kebaikan semoga memudahkan kita menghadapai kehidupan di alam barzakh dan hari akhirat yang penuh kesukaran dan penderitaan. Majoriti manusia akan mengalami azab sengsara yang amat dahsyat ketika berada di alam barzakh , Padang Mahsyar, Mizan (timbangan amal) dan meniti di siratul mustakim. Hanya para mukmin yang terpilih sahaja akan dipermudahkan Allah S.W.T. menghadapai perjalanan kehidupan selepas kematiannya. Bagaimana seorang mukmin yang diredai Allah, ketika berada di alam barzakh seperti duduk di taman-taman syurga, disoal siasat oleh Munkar dan Nakir dengan mudah, diberi kerehatan sementara menanti hari kiamat. Bila berlaku hari kiamat dia termasuk golongan yang dirahmati Allah S.W.T mendapat perlindungan Arasy, diberi minum air daripada kolam (khaudh)  Rasulullah S.A.W. tidak dahaga sampai bila-bila dan meniti siratul mustakim pantas seperti kilat.

Alangkan bahagianya para mukmin seperti ini, apakah amalan yang dilakukan ketika di dunia hingga dia mendapat status 'VVIP' disisi Allah S.W.T?

Pasti ada tip-tip yang diamalkan semasa di dunia hingga dia mendapat kemulian seperti ini. Berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi S.A.W. terdapat beberapa jalan yang diamalkan dan dihayati akan memudahkannya mendapat rahmat dan keredaan Allah S.W.T. di dunia dan akhirat.

Jalan-jalan tersebut adalah seperti berikut :


Pertama : Menuntut ilmu yang bermanfaat. (Ilmu tauhid, ilmu fekah dan ilmu tasauf)

Menuntut ilmu adalah suatu bentuk jihad. Sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan niat ingin menuntut ilmu, para malaikat akan mengiringinya sambil menghamparkan sayap-sayap mereka, dan orang itu akan berjalan di atas sayap-sayap para malaikat. Seandainya dia mati dalam perjalanan, matinya itu adalah mati syahid.

Firman-Nya yang bermaksud:“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”
(Surah al-Ankabut ayat 69)

Sabda Nabi S.A.W. maksudnya : "Sesiapa yang pergi menuntut ilmu, Allah akan melorongkan untuknya laluan ke syurga. Dan sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayap mereka kepada para penuntut ilmu kerana sayangnya para malaikat kepada para penuntut ilmu itu." (Riwayat Ahmad no.18577, al-Tirmizi no.2898, Abu Daud no.3643, Ibn Majah no. 228)

Nabi S.A.W. bersabda : “Barangsiapa yang mati di dalam keadaan menuntut ilmu untuk menghidupkan agama Islam, maka dia berada di dalam syurga kelak satu darjat dengan para nabi.”

Para malaikat akan mengerumuninya dan bertimpa-timpa hingga sampai ke Arasy. Apabila malaikat-malaikat ini kembali kepada Allah dengan laporan mereka, Allah akan menyebut nama-nama orang di majlis itu dan ibu bapa mereka dengan bangganya di dalam perhimpunan para malaikat.

Orang-orang yang berhimpun dalam majlis ilmu dan majlis zikrullah akan diampuni dosa-dosanya oleh Allah. Bukan setakat itu saja, dosa ibu bapa mereka juga akan diampunkan. Penghuni langit melihat majlis-majlis ilmu dan majlis zikrullah di bumi ini bersinar seperti kita melihat bintang-bintang yang berkilauan di langit.

Disebabkan ramainya Malaikat yang mengerumuni majlis dan rahmat yang melimpah akibat daripada kehadiran mereka, ia menjadikan majlis ilmu adalah  sebuah majlis sakinah (ketenangan). Ketika para sahabat r.a menghadiri majlis ilmu yang dikendalikan oleh Rasulullah SAW, suasana menjadi sungguh tenang hinggakan burung-burung datang dan bertenggek di atas bahu dan kepala mereka tanpa sedikit pun rasa takut.

Dengan rahmat ini juga, Allah membersihkan dan melembutkan hati manusia di sekeliling dan memberi hidayah kepada mereka.
Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : “Sesungguhnya sesuatu bab daripada ilmu yang dipelajari oleh seorang lelaki terlebih baik baginya daripada dunia dan apa yang ada di dalamnya”

Kedua : Mengamalkan ilmu yang dipelajari.
Orang mukmin akan mengamalkan ilmu yang dia miliki dan  akan ditambahi oleh Allah dengan ilmu dalam pelbagai bentuk. Orang mukmin yang berusaha memahami agama Islam akan meningkat keimanannya dan iman itu sendiri adalah apa yang dibuktikan dengan hati, lidah dan perbuatan. Keimanan seperti ini akan ditambahi oleh Allah dengan hidayah-Nya.

Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“……sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah.”
(Surah  al-Kahf, ayat 13)

Orang yang mengamalkan ilmu juga bererti mengamalkan hidayah yang Allah kurniakan kepadanya, meningkatkan ketakwaannya, maka dengan itu Allah akan mengurniakan kepadanya al-furqan yang membolehkan dia membezakan antara yang benar dan batil. Allah akan juga menambahi rahmat-Nya dan memberikannya cahaya untuk terus berada di atas jalan yang benar.
Firman Allah S.W.T.  yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (al-Furqan) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.”
(Surah al-Anfal, ayat 29)
Ketiga : Beramal dengan penuh keikhlasan kepada Allah S.W.T.

Keikhlasan niat ialah supaya segala sesuatu kita kerjakan adalah semata-mata kerana Allah dan bukan untuk mendapatkan sanjungan atau pujian dari makhluk. Apa yang kita lakukan hendaklah dengan niat untuk mencari keredaan Allah S.W.T, bukanlah dengan niat mendapat keduniaan dan bukan pula kerana riak.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa kamu, Dan harta kamu dan sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan amal ibadah kamu."

Dengan ini jelas Allah meliaht hati manusia untuk menilai dan menentukan amal ibadat yang sebenarnya. Sesungguhnya ikhlas itu roh atau jiwa sesuatu amalan. Sesungguhnya sesiapa yang beramal tanpa keikhlasan di dalamnya maka amalan yang ditunaikan itu tiada mempunyai roh dan tidak diterima.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya: "Allah tidak menerima amalan melainkan amalan yang dikerjakan dengan tulus dan ikhlas baginya dan bertujuan mendapat keredaanNya"

Dalam hubungan ini Hujjatul Islam Imam Ghazali ada berkata : "Manusia semuanya mati kecuali yang masih hidup adalah orang yang berilmu tetapi umumnya orang yang berilmu itu sedang nyenyak tertidur kecuali yang jaga adalah orang yang berilmu dan beramal. Tetapi orang yang beramal itu pula sering tergoda atau terpedaya kecuali yang tidak terpedaya hanya orang yang ikhlas tetapi ingatlah bahawa ikhlas itu berada di dalam keadaan yang amat sulit ibarat telur di hujung tanduk"

Demikian caranya Imam Ghazali memberikan gambaran yang tepat terhadap sifat yang ikhlas itu dan kita harus yakin bahawa suatu amal yang dikerjakan dengan ikhlas ujudnya akan kukuh dan mestipun amal itu terpaksa juga tumbang kerana dilanda zaman tetapi kesannya tetap abadi. Oleh kerana itu sifat ikhlas di dalam beribadah amat penting dan dia merupakan senjata yang tidak luntur bagi menghadapi gangguan yang lahir dari syaitan sebagaimana
firman Allah S.W.T.
maksudnya: "Iblis berkata : "Wahai Tuhanku oleh sebab Engkau telah memutuskan aku sesat pasti aku akan menjadikan mereka memandang perbuatan baik (perbuatan maksiat)  di muka bumi ini dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya kecuali hamba-hambaMu yang ikhlas (di antara mereka)." (Surah al-Hijr ayat 39-40)

Untuk dijadikan contoh mengenai ikhlas ini marilah kita meninjau satu riwayat cerita di dalam hadis Rasulullah S.W.T. yang diriwayatkan oleh Muslim dari Abi Hurairah maksudnya :
"Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda bahawasanya manusia yang pertama dipanggil untuk diadili di hari kiamat ialah orang yang mati syahid. Dia datang kepada Allah TuhanNya sambil dia sendiri telah mengetahui nekmat apa yang akan diterimanya. Allah bertanya kepadanya apakah amal kamu? "Jawabnya aku berperang untukmu hingga aku mati syahid". Allah berkata kepadanya "engkau bohong, engkau berperang agar manusia mengatakan engkau seorang gagah, berani dan engkau sudah dikatakan begitu sebagaimana yang engkau kehendaki. Kemudian orang itu dihela masuk ke neraka"


Keempat : Mengamalkan sifat-sifat mahmudah dan meninggalkan sifat-sifat mazmumah.

Asas penting dalam kehidupan seorang Mukmin adalah memiliki asas akhlak Islam yang mantap. Akhlak yang nampak lahir dalam kehidupan adalah berasaskan iman kepada Allah s.w.t. Tanpa iman yang kukuk tidak mungkin seseorang mampu melahirkan akhlak Islam dalam kehidupannya. Sifat mahmudah adalah peribadi seorang Mukmin yang memiliki  akhlak Islam dan ianya lahir daripada satu proses tarbiyah Imaniah.

Adapun sifat-sifat Mahmudah itu ada 10 sifat iaitu:-

1. Taubat - keazaman untuk meninggalkan segala kesalahan dan dosa-dosa yg telah dilakukan.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya Allah amat menyukai orang-orang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri."
(Surah Al-Baqarah ayat 222)

2. Takut kepada Allah (takwa)- Seseorang Mukmin itu apabila dia mengenali Zat Allah melalui sifat-sifat-Nya, maka jiwanya akan mewarisi perasaan takut terhadap Allah S.W.T.

 Firman Allah maksudnya :  “ Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati melainkan kamu menyerah diri ( kepada Allah S.W.T. ).”
( Surah Ali Imran ayat 102 )

3. Mahabbah (kasih sayang) sesama mukmin.

Dari Muaz bin Jabal meriwayatkan, aku mendengar Rasulullah s.a.w. meriwayatkan hadis qudsi : Allah Azzawa Jalla berfirman yang bermaksud : " Orang-orang yang mencintai satu sama lain kerana kebesaran dan kemuliaan-Ku akan duduk diatas mimbar-mimbar nur pada hari kiamat, (bahkan) nabi-nabi dan para syuhada akan beriri hati kepada mereka."(Hadis Riwayat Tirmizi)

4. Zuhud - mengambil dunia sekadar yang perlu. Di dalam hati tidak ada kecintaan pada kehidupan di dunia.Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia.  Firman Allah s.w.t bermaksud :“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.” (Surah Al-A’laa: 16-17)

5. Sabar. Bersabar dengan ujian dan dugaan daripada Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya orang yang bersabar akan diberikan pahala mereka tanpa hisab"
(Surah az-Zumar: 10).

 6. Syukur . Melahirkan rasa berterima kasih kepada nikmat Allah S.W.T. yang banyak diperolehi.

Rasulullah S.A.W.  bersabda yang bermaksud :"Siapa yang tidak bersyukur dengan pemberian yang sedikit, dia juga tidak akan bersyukur dengan pemberian yang banyak. Siapa yang tidak mensyukuri manusia, bererti dia juga tidak mensyukuri Allah. Memperkatakan nikmat Allah adalah tanda syukur, dan mengabaikannya adalah kufur. Berjemaah itu dirahmati, sedangkan berpecah belah itu mengundang azab."
(Hadis Riwayat Ahmad dalam Musnad Ahmad)

7. Ikhlas dan benar. Melaksanakan sesuatu amalan semata-mata kerana Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu wahai Muhammad dengan membawa kebenaran,oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya"

8. Tawakkal - sentiasa berserah diri kepada Allah S.W.T. setelah berazam, seterusnya diikuti dengan usaha.

Allah S.W.T.  berfirman yang bermaksud : "Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)."
(Surah al-Thalaq ayat 3).

9. Reda dengan Qadak dan Qadar.

Firman Allah lagi maksudnya : "Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (loh mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ".(Surah  Al-Hadid ayat 22)

Allah berfirman maksudnya : "Tidak luput darpada pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah di bumi atau pun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar daripada itu melainkan (semuanya tercatat) dalam kitab yang nyata (loh mahfuz). " (Surah Yunus ayat 61)

10. Mengingati mati - Merasai hidup di dunia ini adalah sementara dan di hari akhiratlah kehidupan yang kekal abadi.

Sabda Nabi S.A.W.  bermaksud ” Sepintar-pintar manusia ialah orang yang sentiasa mengingati mati dan sentiasa bersiap sedia menghadapinya, mereka itulah orang yang bijaksana”.

Sifat-sifat mazmumah pula adalah berlawanan dengan sifat-sifat mahmudah maka perlulah ditinggalkan untuk menjadi mukmin yang diredai oleh Allah S.W.T.

Sahabat yang dikasihi Allah,
Marilah kita beramal dengan amalan-amalan yang membawa kita menuju jalan ke syurga Allah S.W.T. Jalan ke syurga Allah S.W.T. bukanlah mudah kerana perlu kepada pengorbanan dan istiqamah dan sanggup bersusah payah ketika di dunia ini. Bersusah payah sedikit di dunia adalah lebih baik daripada menderita berpanjangan ketika kita bertemu dengan Allah S.W.T. di hari akhirat nanti.

p/s credit to ustaz Abu Basyer