KHALIFAH ISKANDAR

welcome

DENGAN NAMA ALLAH, AKU BERLINDUNG,MEMOHON KEBERKATAN. DENGAN NAMA ALLAH AKU MEMOHON PERTOLONGAN,KEMENANGAN,KURNIA DAN TEMPAT AKU MENYANDAR,BERSERAH,BERPEGANG . DGAN NAMA ALLAH AKU TENGELAMKAN DIRIKU,JIHADKU DAN KESUNGGUHANKU,TIADA UPAYA (DARIPADA MENGELAK MAKSIAT) DAN TIADA UPAYA (MENGERJAKAN TAAT)MELAINKAN DENGAN PERTOLONGAN ALLAH YANG MAHA TINGGI LAGI MAHA AGUNG. DENGAN NAMA ALLAH AKU MULAKAN DAN AKU AKHIRI SEGALANYA. BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

PERJUANGAN HAKIKI- JIWA YG BESAR


        Dunia ini dirubah oleh mereka yang memiliki Himmah ’Aliyah ( cita-cita tinggi). Setiap pemikiran ilmiah atau projek yang membina atau misi pengislahan umat dibelakangnya adalah tokoh-tokoh dan figur yang hebat. Tokoh-tokoh yang memiliki karisma, mangakar pemikirannya, bekerja tanpa jemu sehingga dia mencapai visi perjuangannya atau mati meninggalkan legasinya buat umat. Mereka adalah rijal.




        Lihatlah pada contoh teragung kita, qudwah terbaik buat kita iaitu baginda Rasulullah SAW ketika ditawar oleh bapa saudaranya Abu Talib untuk menjawat jawatan ketua kepada kabilah-kabilah Arab dari tangan kepemimpinan Quraisyh.Kata baginda SAW : “ Demi allah wahai bapa saudaraku, kalaulah mereka meletakkan matahari ditangan kananku dan bulan ditangan kiriku agar aku meninggalkan tugas membawa risalah ini, sekali-kali aku tidak meninggalkannya sama ada allah memenangkan risalah ini atau sebaliknya..”


       Bagaimana mungkin seseorang itu akan berasa lemah atau rendah diri berdepan dengan tawaran tersebut jika dia memiliki himmah(cita-cita) membugar, dia mensinergikan visinya dengan al-Haq yang datang dari Allah SWT.


Lihatlah pula para Sahabat R.A yang mendapat didikan Madrasah Rasulullah, yang menjadi tulang punggung kepada dakwah ini sehingga mereka bertebaran ke seanterio dunia.


       Bilal bin Rabah, berdarah daging keturunan Habsyah, seorang hamba kepada tuannya Umaiyah bin Khalaf. Beliau diseksa ditengah panas terik matahari, diletakkan batu besar ke atas dadanya. Kata Umaiyah b. Khalaf ; “ aku tidak akan melepaskanmu..kamu akan berterusan begini sehinggalah kamu mati atau kufur kepada Muhammad..”. Jiwa yang memiliki cita-cita besar ini menjawab : “ ahad..ahad (Esa)”.


Lihatlah pula pada keluarga dakwah unggul, keluarga Yasir yang diseksa di panas yang terik. Yasir mati sebagai syahid, diikuti isterinya Sumayyah. Iman dan Aqidah Ammar tetap utuh. Beliau thabat walau diuji, biarpun ibubapanya dibunuh. Jiwanya besar cita-citanya tinggi.


Lihatlah pula pada Saidina Abu Bakar As-Shiddiq ketika beliau memimpin dakwah lewat kematian baginda Rasulullah SAW. Beliau berdepan dengan gejala riddah ( murtad). Seluruh semenanjung Arab dibelenggu sindrom murtad. Dengan himmah ‘aliyyah ( jiwa yang tinggi), beliau mengungkap kata-kata : “Demi allah ! aku akan perangi mereka yang memisahkan zakat dan solat..Demi Allah ! kalaulah mereka menghalang disebabkan oleh tali unta untuk mengeluarkan zakat sebagaimana yang telah mereka berikan pada Rasulullah SAW, nescaya pasti aku akan perangi mereka..”. Siapa yang akan memerangi mereka kalau tidak mereka yang memiliki jiwa yang besar.


Begitu juga sesiapa yang membuka lembaran sejarah Islam atau mana-mana sejarah yang hebat, pasti mereka akan dapati disebaliknya tokoh-tokoh, rijal-rijal yang melakar dan mencipta sejarah. Mereka ini adalah pelopor, pemikir, tokoh, pemimpin, para du’at, khalifah, pejuang, ilmuwan dan cendekiawan dalam pelbagai disiplin ilmu, mereka membuat kajian, analisis, mewakafkan hidup mereka berkhidmat kepada umat..membina peradaban yang holistik sehingga peradaban mereka menjadi model unggul mengatasi peradaban lain.


Contohilah, anak muda yang melakar sejarah, meninggalkan legasi kepada generasi selepasnya.Ketika dunia bersedih dan diselubungi dengan kejatuhan Khilafah Islamiah pada tahun 1924, ketika tentera – tentera musuh menjajah bumi umat Islam, ketika undang-undang syariah ditukar kepada undang-undang sekular, ketika muncul gerakan sekularisasi dan usaha –usaha pembaratan dan para ilmuwan Islam meninggalkan tugas dakwah ini, anak muda ini memulakan usaha dakwah dengan noktah yang telah diabaikan oleh generasi ketika itu.


Beliau terus membina..membina dan terus membina sehingga binaannya menjadi kukuh dengan binaan yang terbaik (Husnul bina’). Dakwahnya bertebaran ke seluruh dunia, manhajnya diaplikasikan di pelusuk benua, kadernya beraksi dalam semua platform, ketumbukan jihadnya menentang Zionis Yahudi di Palestina. Hidupnya singkat jasanya hebat. Itulah anak muda bercita-cita tinggi.. Imam As-Syaheed Hasan Al-Bana.


Beliau memberikan ubat mujarab kepada dunia yang dibelenggu seribu satu macam masalah. Beliau membawa gagasan besar untuk membina tamadun agung dan terbilang. Biarpun dihadapannya batu- batu kerikil yang menghalangi perjuangannya, musuh-musuh durjana, kezaliman rejim tirani yang mencengkam, kefasadan dan kerosakan anak-anak muda, kelesuan para ulamak, kejahilan rakyat jelata , dengan jiwa yang agung dan bercita-cita besar ,beliau berkata : “ Tidak ada seorang pun mengetahui melainkan hanya Allah sahaja yang mengetahuinya betapa kami setiap malam menghabiskan masa kami dengan memikirkan masalah umat ini,keadaan yang menimpa umat dalam pelbagai aspek kehidupan, kami menganalisis penyakit dan mencari ubat mengatasinya, kami berfikir untuk merawat dan menghilang penyakit umat ini. hasilnya membuatkan kami menangis. Alangkah kami rasa terpegun dan terkejut apabila kami berdepan dengan masalah yang meruntun jiwa kami, kami melihat ada orang-orang yang khayal, mabuk menghabiskan masa mereka di kafeteria-kafeteria, berlegar-legar di kelab-kelab yang merosakkan. Bila saya bertanya salah seorang daripada mereka tentang sebab mereka melakukan perjumpaan-perjumpaan yang kosong dan memboringkan itu. Si fulan itu berkata kepada kamu : Saya sengaja membuang masa…saya sedang membunuh waktu saya. Alangkah malangnya si fulan tersebut dia tidak mengetahui bahawa sesungguhnya sesiapa yang membunuh masanya sebenarnya dia membunuh dirinya (hidupnya).. Sesungguhnya masa itu adalah kehidupan..”. Inilah jawapan Sang Anak Muda yang mencipta sejarah dan bercita-cita tinggi.


Abdul Hamid b. Baadis rahimahullah, seorang cendekiawan Islam dari Algeria, ulama terkenal. Beliau telah pergi mengerjakan haji dan bertemu dengan sahabat karibnya Al-Basyir Al-Ibrahimi. Temannya itu berikrar untuk tinggal lama di di bumi Madinah, menghabiskan sisa-sisa hidup dengan beribadah di Masjid Nabawi, membaca dan menulis. Syeikh Abdul Hamid b. Baadis bertanya kepadanya ; “ siapa yang akan membebaskan bumi Algeria jika aku dan kamu bersikap begini..?”. Lantas mereka berdua pulang dan berjuang membebaskan Algeria dari cengkaman penjajah..dengan iman yang mendalam (al-iman al-amiq),kefahaman yang teliti(al-fahm ad-daqiq) dan kerja yang berterusan (al-amal al-mutawasil).


Mereka itulah adalah tokoh-tokoh yang hebat, cita-cita mereka tinggi dan visi mereka agung. Begitulah sang Da’ie, seharusnya memiliki cita-cita tinggi dan ambisi yang besar. Para pendakwah semestinya menjadikan cita-cita dakwahnya melingkari benak pemikirannya, hidup dan tumbuh subur di dalam kehidupannya. Bak kata Imam Ibnu Qayyim : “ Himmah ‘Aliyah ( cita-cita tinggi) ini mengatasi cita-cita lain umpama seekor burung yang terbang tinggi dari burung-burung lain”.


Seorang pendakwah yang memiliki cita-cita tinggi akan ;


sibuk membina rijal dengan kata-kata dan perbuatan. Melakukannya dengan terbaik sehingga tidak ada masa untuk menambah bacaan dan penulisannya. Begitulah Hasan Al-Basri, beliau merupakan orang yang pertama melakukan, apabila mengajak manusia melakukan sesuatu perkara juga yang pertama menjauhkan perkara tersebut apabila melarang sesuatu perkara.
meninggal dari sibuk dengan perkara yang tidak ada kaitan dengannya, menjauhi perkara syubhat, bersabar dengan kepayahan dakwah sekalipun jalannya panjang dan melelahkan.
rasa bangga dan mulia dengan dakwah, memiliki intergriti, rasa bertanggungjawab, memikul amanah agung risalah yang tidak mampu dipikul oleh langit dan bumi.
berjiwa perwira, berani dan perkasa. Berani yang tidak terhad pada kekuatan tubuh tetapi berani ke depan yang didokong dengan pandangan dan kebijaksanaan, jauh dari sifat semberono, gopoh gapah dan tergesa-gesa.
pro-aktif, melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik yang mungkin, tidak bertanggung-tangguh dengan beban dakwah yang diamanah ke atas pundaknya.
menghormati, mengurus dan menghargai masa. Ini kerana masa merupakan asas kemajuan umat, generasi dan manusia keseluruhannya.Masa perlu direbut, ia datang tanpa menunggu kita, berlalu dan tidak akan kembali. Alangkan ruginya hidup para pendakwah yang menghabiskan masa-masanya tanpa dikerjakan pada perkara-perkara yang besar, yang membina dan membangun umat, melahirkan rijal dan figur sejagat, memimpin dan menerajui kebangkitan rakyat.
Generasi salaf, mereka adalah qudwah dalam memiliki Himmah ‘Aliyah. Mereka adalah agent of change ( agen perubah).Kata Imam Ibnu al-Jauzi :


“ Aku berlindung dari berteman dengan perjalanan hidup orang-orang yang kita tidak dapat mencontohi cita-cita tinggi mereka buat generasi selanjutnya,dan bukan juga sang warak yang tidak dapat diambil manfaat sifat zuhudnya, hendaklah kamu memerhatikan perjalanan hidup mereka yang mempunyai cita-cita besar dan tinggi, mengkaji penulisan dan karya mereka, berusaha meningkat dan memperbanyakkan membaca buku-buku mereka..”


Sesungguhnya berteman dengan mereka yang memiliki cita-cita tinggi, yang mana setiap seorang dalam persahabatan tersebut, boleh dijadikan teladan ikutan, berfikir tentang realiti umat merupakan ciri-ciri mereka yang memiliki cita-cita besar.


Jika anda seperti mereka beruntunglah, jika tidak berusahalah untuk menjadi seperti mereka. Perubahan bermula dari diri anda. Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu umat melainkan mereka merubah diri dan sikap mereka..


Ubahlah paradigma anda…jadilah Sang Da’ie bercita-cita tinggi dan berjiwa besar…

0 comments:

Post a Comment